Sunday 16 February 2014


Perternakan Rumpai Laut di Sabah

Rumpai laut atau nama tempatannya agar-agar ialah sejenis tumbuhan akuatik yang hidup terapung di atas permukaan air yang tenang di persisiran pantai berbatu, pantai berlumpur, bakau, terumbu karang dan pantai berpasir. Terdapat pelbagai spesies rumpai laut di Malaysia, tetapi hanya spesies Kappaphycus dan Eucheuma sahaja yang diternak di negeri Sabah. Aktiviti penternakan rumpai laut mendapat galakan dan sokongan daripada kerajaan melalui pelbagai agensi terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia  Sabah.

Penternakan rumpai laut di Sabah tertumpu di Semporna, Lahad Datu, Kudat dan Kunak yang berkeluasan 7,535 hektar. Mereka yang terlibat dalam industri huluan ini terdiri daripada penduduk kampung di pinggir laut. Aktiviti hiliran dilakukan oleh dua buah kilang yang memproses rumpai laut kepada ‘semi-refined carrageenan’ (SRC). SRC ini terbahagi kepada dua jenis iaitu gred makanan dan gred bukan makanan. SRC ini digunakan dalam industri pembuatan makanan dan industri pengeluar barangan penjagaan diri dimestik selain  dieksport ke Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

 

Negeri Sabah menyumbang hampir keseluruhan industri penternakan rumpai laut di Malaysia. Hampir 1,200 orang penternak terlibat dalam industri ini dengan daerah Semporna mempunyai 77% keluasan yang terlibat.

Sistem Penternakan Rumpai Laut
Sistem penternakan yang biasa diamalkan di Asia Tenggara ialah sistem pancang, sistem rawai, sistem rakit dan sistem raga. Sistem pancang sesuai diusahakan di kawasan air cetek iaitu kurang daripada 0.5 meter dalam merentang tali yang sesuai di antara dua pancang dan seterusnya benih rumpai laut diikat ke tali yang direntang tadi.

       Sistem rawai pula sesuai di kawasan air 1-3 meter dalam. Sistem rawai mempunyai persamaan dengan sistem pancang kecuali hujung tali diikat pada bahagian dasar pancang, sementara tali diapungkan dengan pelampung. Setiap satu rawai berukuran lebih kurang 200 meter panjang. Benih rumpai laut digantung pada tali di bawah aras air dan tali tersebut akan turun naik mengikut pasang surut air laut.

        Seperti sistem rawai, sistem rakit juga sesuai di kawasan air yang kedalaman 1-3 meter. Namun begitu sistem rakit memerlukan batang kayu yang boleh terapung atau dua unit pelampung panjang yang diapungkan di permukaan air. Kayu atau pelampung tersebut diikatkan pada sauh di dasar laut untuk mengukuhkan kedudukannya . Seterusnya tali-tali diikat menerusi kedua-dua kayu atau pelampung tersebut dan benih-benih rumpai laut diikat pada tali-tali tersebut.
       Sistem rawai sesuai di kawasan laut yang lebih dalam. Ukuran raga yang disyorkan oleh LKIM ialah 2 x1 meter (lebarXtinggi) yang diperbuat daripada Netlon HDPE. Raga dilabuhkan di dalam air secara terapung dan benih-benih rumpai laut akan dimasukkan ke dalam raga. Kaedah ini memerlukan kos yang tinggi tetapi mempunyai banyak kebaikan. Sistem ini boleh menghalang ikan dan penyu daripada memakan benih serta mengurangkan tenaga kerja.

Pusingan Penternakan
Penternakan rumpai laut dijalankan mengikut pusingan Satu pusingan penternakan mengambil beberapa hari dan bolehlan diumpanakan sebagai satu musim dalam penanaman padi.Spesies rumpai laut diternak oleh semua penternak ialah Kappaphyeseus alverazi.
Majoriti penternak (53%) mengamalkan 36-45 hari sepusingan manakala 37% lagi mengamalkan 56-60 hari sepusingan.
       Bilangan hari sepusingan mempengaruhi bilangan pusingan pengeluaran setahun. Kebanyakan penternak (87%) mengamalkan 1-5 pusingan setahun manakala selebihnya (13%) mengamalkan 6-10 pusingan setahun. Tugas menyediakan anak benih untuk ditanam mengambil masa 4-5 hari, menuai 2 hari, menjemur 3 hari dan tempoh pertumbuhan rumpai laut bergantung kepada tempoh hari selebihnya dalam satu pusingan. Oleh itu, bagi pusingan 60 hari, tempoh pertumbuhan ialah 50 hari manakala pusingan 45 hari, tempoh pertumbuhan ialah 35 hari.

Memulakan Usaha Penternakan dan Kos Terlibat
Beberapa perkara diperlukan untuk memulakan usaha penternakan. Selain anak benih, tali dan botol polyethylene terephthalate (PET), harta tetap seperti bot atau sampan, pelantar menjemur, stor dan kayu pancang diperlukan.

       Kos terlibat dalam usaha penternakan ialah kos berubah dan kos overhed. Kos berubah ialah anak benih, tali nilon dan tali rafia, botol PET (bahan sisa industri minuman) dalam saiz 1,500ml atau 500ml dan buruh pengeluaran yang terdiri daripada buruh keluarga atau buruh komersial. Kos overhed pula ialah susut nilai sampan sama ada berenjin atau tidak, pelantar menjemur, stor dan kayu pancang.

       Keperluan seperti bot atau sampan dimiliki oleh penternak dengan cara membeli sendiri, bantuan daripada JPM Sabah atau disewa. Pelantar penjemuran memerlukan kos yang tinggi untuk dibina (RM40,000) seunit, biasanya disediakan oleh JPM Sabah dan digunakan sama oleh 7-10 orang penternak.

Pengeluaran Rumpai Laut
Pengeluaran hasil rumpai laut bergantung kepada keluasan ternak dan seterusnya bergantung kepada bilangan rawai. Purata rawai seekar ialah tujuh talian. Kebanyakan penternak menternak 14 rawai. Bilangan rawai paling rendah diternak ialah 9 rawai, manakala yang paling tinggi ialah 35 rawai.

       Terdapat perbezaan ketara antara penternak dalam kuantiti pengeluaran hasil kering rumpai laut bagi satu rawai. Hasil kering minimum dapat dikeluarkan ialah 43 kg/rawai/pusingan manakala hasil kering maksimum ialah 214 kg/rawai/pusingan. Kebanyakan penternak dapat mengeluarkan 80 kg/rawai/pusingan.

       Terdapat lima jenis tempoh pusingan yang diamalkan oleh penternak iaitu 3,4,5,6,dan 7 pusingan setahun. Terdapat juga variasi bilangan hari dalam tiap-tiap pusingan iaitu 30, 45, dan 60 hari. Hasil rumpai laut basah apabila dikeringkan akan memberikan pulangan anggaran 10% daripada berat basah.

       Perbezaan hasil antara penternak seharusnya dipengaruhi oleh keluasan kawasan ternakan, bilangan rawai direntang, bilangan pusingan setahun dan bilangan hari pusingan. Semua penternak tidak menggunakan baja dan ubat-ubatan untuk menentukan kesuburan dan mengawal serangan penyakit. Oleh itu kesuburan pertumbuhan adalah secara semula jadi.